Sumbangan Asas Rahmah, atau lebih dikenali sebagai SARA, merupakan satu inisiatif Kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup. Program ini menyediakan bantuan keperluan asas kepada penerima yang layak, merangkumi barangan runcit seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan banyak lagi.
Apa itu Sumbangan Asas Rahmah (SARA)?
SARA ialah bantuan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang berstatus miskin dan miskin tegar dalam sistem eKasih. Ia dilaksanakan bagi memenuhi keperluan barangan asas bulanan. Penerima yang layak akan menerima bantuan bernilai RM1,200 atau RM600 setahun, yang disalurkan secara pembelian tanpa tunai (cashless) atau terus ke akaun penerima mengikut kategori masing-masing.
Siapa Yang Layak Menerima SARA?
Untuk layak menerima sumbangan SARA, seseorang mestilah:
- Warganegara Malaysia
- Tersenarai dalam rekod data eKasih di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sehingga 31 Oktober 2023
- Lulus permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 bagi kategori Isi Rumah, Bujang atau Warga Emas Tiada Pasangan
Pemohon tidak perlu memohon SARA secara berasingan kerana kelayakan adalah secara automatik berdasarkan data eKasih dan kelulusan STR.
Cara Semakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Penerima boleh menyemak status kelayakan SARA melalui beberapa kaedah:
1. Surat Pemakluman
Surat kelulusan STR 2024 yang diterima juga akan menyatakan kelayakan SARA.
2. Sistem Pesanan Ringkas (SMS)
Penerima yang layak akan menerima SMS atau mesej WhatsApp daripada MyKasih untuk mengesahkan status sebagai penerima SARA. Penerima juga akan dimaklumkan tarikh dan masa untuk menghadiri sesi taklimat orientasi di kedai runcit berdekatan.
3. Portal Rasmi (Disyorkan)
Semakan boleh dibuat di portal-portal berikut:
- Semakan pelaksanaan SARA bagi penerima di Semenanjung Malaysia: Portal Rasmi MyKasih di https://www.mykasih.com.my
4. Hubungi Talian Bantuan
- Semakan kelayakan SARA: Hubungi LHDNM di talian 1-800-88-2747 atau MOF di talian 03-8882 4565 / 4566 (Isnin – Jumaat, 9pg – 5ptg)
- Semakan pelaksanaan SARA bagi penerima di Semenanjung Malaysia: Hubungi MyKasih di talian 03-7720 1800 (Isnin – Jumaat, 9pg – 5ptg)
Cara Penebusan Bantuan SARA
Kaedah pelaksanaan SARA adalah berbeza mengikut lokasi:
Penerima di Semenanjung Malaysia (Tidak Termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan)
- Penerima akan menerima bantuan secara pembelian tanpa tunai (cashless) sebanyak RM100 sebulan (kategori Isi Rumah / Warga Emas Tiada Pasangan) atau RM50 sebulan (kategori Bujang) selama 12 bulan.
- Akaun SARA akan dibuka secara automatik berdasarkan MyKad penerima dalam sistem MyKasih. Penerima boleh menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas terpilih di lebih 600 cawangan pasaraya/kedai runcit berdaftar, antaranya Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores dan Lulu Supermarket.
Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan
- Penerima akan menerima bayaran RM600 / 2 kali (kategori Isi Rumah / Warga Emas Tiada Pasangan) atau RM300 / 2 kali (kategori Bujang). Pembayaran dibuat dua kali setahun pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024, melalui akaun bank atau secara tunai seperti kaedah pembayaran STR 2024.
Berikut adalah jadual bayaran bulanan SARA mengikut kategori penerima:
Kategori STR (Miskin dan Miskin Tegar)Â | Kategori STR (Miskin dan Miskin Tegar)Â | |
Bulan | Isi Rumah & Warga Emas Tiada Pasangan | Bujang |
April 2024 | RM 100 | RM 50 |
Mei 2024 | RM 100 | RM 50 |
Jun 2024 | RM 100 | RM 50 |
Julai 2024 | RM 100 | RM 50 |
Ogos 2024 | RM 100 | RM 50 |
September 2024 | RM 100 | RM 50 |
Oktober 2024 | RM 100 | RM 50 |
November 2024 | RM 100 | RM 50 |
Disember 2024 | RM 100 | RM 50 |
Jumlah | RM 1200 | RM 600 |
Mengikut jadual di atas:
- Penerima dalam kategori Isi Rumah (Kahwin / Ibu Bapa Tunggal dengan anak) dan Warga Emas Tiada Pasangan yang berstatus miskin / miskin tegar akan menerima bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan, berjumlah RM1,200 setahun.
- Penerima kategori Bujang yang berstatus miskin / miskin tegar pula akan menerima RM50 sebulan, bersamaan RM600 setahun.
Bayaran pertama akan dikreditkan ke akaun MyKasih penerima mulai 22 Januari 2024. Untuk bulan-bulan berikutnya, kredit akan dibuat pada hari pertama setiap bulan.
- Kaedah bayaran adalah secara pembelian tanpa tunai (cashless) di outlet runcit terpilih menggunakan MyKad penerima. Baki bantuan yang tidak digunakan pada bulan semasa akan dibawa ke bulan seterusnya. Walau bagaimanapun, sebarang baki yang masih berbaki pada 31 Disember 2024 akan luput secara automatik.
Barang Keperluan Asas Yang Dibenarkan
Penerima SARA boleh membeli barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan dan dilabelkan khas di rak pasaraya/kedai. Kategori produk yang terlibat adalah:
- Beras
- Roti
- Telur
- Minyak Masak
- Tepung
- Biskut
- Makanan dalam Tin
- Mee Segera
- Minuman
- Bahan Perasa
- Produk Kebersihan
- Barangan Persekolahan
- Ubat-ubatan
Nota : Senarai lokasi kedai mykasih setiap negeri juga telah ditetapkan dan hanya kedai tertentu sahaja boleh buat pembelian.
Kesimpulan
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan satu bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan asas. Penerima yang layak akan menerima bantuan secara automatik tanpa perlu memohon.
Dengan adanya bantuan SARA, diharap ia dapat meringankan beban kewangan penerima serta memastikan mereka mendapat akses kepada makanan dan barangan keperluan yang mencukupi.
Untuk maklumat lanjut mengenai SARA, penerima boleh melayari portal rasmi MyKasih di www.mykasih.com atau menghubungi talian bantuan di 03-7720 1800.
1 Comment
Assalamualaikum
Saya pesara tentera, saya ingin bertanya berkenaan PEKA, Sila pihak tuan bg info lanjut tentang skim ini.
Terima kasih